Wataniah Ex-Students Society Forum Index Wataniah Ex-Students Society
Selamat Datang ke Forum WES
 

USM dipilih universiti tempatan paling cemerlang

 
       Wataniah Ex-Students Society Forum Index -> Sembang IPT
Author Message
khAINIza



Tue Dec 04, 2007 6:45 pm   USM dipilih universiti tempatan paling cemerlang  

PUTRAJAYA: Kajian Reputasi Akademik yang dilaksanakan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mendapati tiada satu pun antara 17 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini yang mencapai tahap terbilang atau bertaraf dunia.

Kajian MQA, yang dulunya dikenali Lembaga Akreditasi Negara (LAN), mendapati hanya Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencapai penilaian lima bintang iaitu dikategorikan sebagai cemerlang, sekali gus menduduki senarai teratas dari segi reputasi IPTA di negara ini.

Enam IPTA iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekadar meraih empat bintang atau baik.

Baki 10 IPTA iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeMM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), mencapai tiga bintang atau memuaskan.

Bagaimanapun, tiada IPTA tersenarai dalam dua kategori terendah iaitu dua bintang yang ditakrifkan sebagai kurang memuaskan atau satu bintang yang disifatkan lemah. Tahap terbilang atau bertaraf dunia diberikan kepada IPTA yang berjaya meraih pencapaian tertinggi enam bintang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata kajian MQA terhadap 17 IPTA itu membabitkan 272 responden dengan 242 daripadanya di kalangan IPTA tempatan, dua IPT Asean, sembilan syarikat korporat serta 19 badan profesional dan persijilan. Mustapa bagaimanapun berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan kaji selidik terhadap 10 persepsi responden terhadap prestasi IPTA dan ia sebenarnya sesuatu yang amat subjektif kerana berasaskan pendapat semata-mata. Antara aspek penilaian persepsi yang termasuk dalam kajian itu ialah berhubung mutu sesebuah universiti, penyelidikannya, reputasi tenaga akademik di fakultinya, universiti pilihan pelajar, kecemerlangan program akademik dan prestasi graduan.

Sambil menjelaskan hasil penarafan itu akan diumumkan selewat-lewat awal tahun depan, beliau berkata, IPTA terbabit akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu universiti penyelidikan, ‘broadbased universities’ dan ’specialized universities’. “Hasil penarafan akan dimaklumkan kepada orang ramai. Saya fikir adalah penting untuk telus dan juga kerajaan mengetahui sejauh mana universiti menggunakan dana dan peruntukan secara berkesan untuk mencapai objektif.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu tahu universiti mana lebih baik. Malah, setiap pengguna berhak mengetahui universiti mana yang menyediakan pendidikan berkualiti,” katanya. Pada majlis itu, Mustapa turut mengumumkan pelantikan 14 ahli MQA berkuat kuasa 1 November lalu hingga 31 Oktober 2009. Mereka adalah Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim selaku Pengerusi, Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yassin (Timbalan Pengerusi).

Ahli MQA ialah Syed Ahmad, Datuk Dr Zulkefli A Hassan, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, Datuk Thomas George a/l MS George, Tan Sri Ismail Adam, Prof Datuk Dr Hassan Said, Dr Paramjit Singh, Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir, Datuk Wee Ka Siong, Datuk Zakaria Hashim, Davies Danavaindran dan Tan Sri Prof Emeritus Dr Gajaraj Dhanarajan.


Sumber : Berita Harian, 3 November 2007
 
 
       Wataniah Ex-Students Society Forum Index -> Sembang IPT
Page 1 of 1


This page is a free forum hosting archive page from a ForumWise free forum.
Powered by phpBB ©