khAINIza
|
| Fri May 11, 2007 11:18 am ViVA model terbaru Perodua |
|
|
Berita Harian wrote: Oleh Azli Ayob
KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) malam tadi melancarkan model terbarunya, Perodua ViVA, sebagai tambahan kepada barisan model kompak keluaran syarikat itu.
Pengeluar kereta nasional itu, yang terkenal dengan model kompaknya, menjangka Perodua ViVA akan mencatat kejayaan lebih besar atau setidak-tidaknya menyamai Myvi yang diperkenalkan pada Mei 2005.
ViVA yang bermaksud ‘untuk hidup’ atau ‘kehidupan yang panjang’, dipilih bagi menggambarkan aspirasi Perodua untuk meneruskan reputasinya sebagai pengeluar kereta kompak berkualiti pada harga mampu dimiliki.
Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin, berkata syarikat itu akan mengeluarkan 58,900 unit Perodua ViVA tahun ini dengan jangkaan jualan 6,500 unit sebulan.
“Dalam tempoh pelancaran, Perodua mengeluarkan 2,000 unit model terbaru ini untuk tempahan,” katanya selepas melancarkan Perodua Viva di sini, malam tadi.
Hadir sama, Duta Jepun ke Malaysia, Tadashi Imai; Pengarah Urusan Perodua, Hafiz Syed Abu Bakar dan Presiden Eksekutif Daihatsu Motor Co Ltd, Katsuyuki Kamio.
Asmat berkata, harga atas jalan bagi model terbaru Perodua yang lebih bergaya itu adalah antara RM28,400 hingga RM44,200 seunit mengikut model dan kapasiti enjin.
Perodua ViVA didatangkan dalam tiga kapasiti enjin, iaitu 660cc dan 850cc dan 1,000cc dengan lima warna pilihan meliputi perak (Glittering Silver), merah (Passion Red), putih (Ivory White), hijau (Tropical Green) dan Hijau Muda (Pearl Jade).
Antara ciri model baru itu ialah menggunakan enjin yang dilengkapi aci sesondol berkembar (DOHC), penalaan enjin berjujukan dinamik (DVVT) dan suntikan bahan api elektronik (EFI).
Ini adalah kali pertama Perodua memasukkan ciri-ciri EFI dalam varian 660cc dan 850cc keluarannya.
Antara ciri yang paling menonjol dalam kereta terbaru Perodua itu adalah ruang dalam lebih lebar dan terpanjang dalam segmen kereta kompak bagi keselesaan penumpang dengan ruang kabin yang luas.
Idea menghasilkan Perodua ViVA dengan kod pengeluaran D18D itu bermula pada 2005 membabitkan 124 vendor yang bekerjasama rapat dengan Perodua bagi mengeluarkan lebih 1,000 komponen secara tempatan.
Hasilnya, Perodua ViVA mempunyai kira-kira 90 peratus komponen tempatan sepenuhnya, menjadikannya kenderaan yang paling tinggi kandungan tempatan setakat ini.
Sumber : Berita Harian, Jumaat, 11 Mei 2007 |
|